Popular Posts

Monday 30 September 2013

Ali Rustam, Isa Samad tak kenal putus asa

Dari segi sejarahnya, dua lagi pemimpin yang telah mencalonkan diri mereka untuk bertanding jawatan naib presiden Umno - Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Samad - bukanlah calang-calang orang.

Kedua-duanya merupakan bekas menteri besar dan ketua menteri, dan masing-masing juga pernah memegang jawatan naib presiden sebelum ini.

Dan kedua-dua juga berkongsi pengalaman yang serupa dalam pemilihan parti itu. Selepas memenangi jawatan naib presiden dengan undi kedua terbanyak pada pemilihan 2004, Mohd Ali kemudian mencuba nasib untuk jawatan timbalan dalam pemilihan berikutnya pada 2008.

Bagaimanapun, hasratnya tidak kesampaian selepas Lembaga Disiplin parti mendapati beliau bersalah melanggar peraturan pemilihan parti, dan sekaligus dilarang bertanding merebut jawatan tersebut.

Begitu juga dengan Mohd Isa. Pada 2004, beliau memenangi jawatan naib presiden dengan undi tertinggi. Namun, kemenangannya dibatalkan selepas Lembaga Disiplin mendapati beliau terbabit dalam politik wang. Beliau juga digantung keahliannya selama tiga tahun dari 2005 hingga 2008.

Namun Mohd Isa tidak putus asa dan sekali lagi menawarkan dirinya untuk bertanding bagi jawatankuasa yang sama pada pemilihan 2008. Beliau memperolehi jumlah pencalonan yang mencukupi tetapi gagal terpilih.

Dan dalam pemilihan bulan depan, kedua-duanya sekali lagi menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden.

Persoalannya sekarang apakah peluang mereka kali ini, apatah lagi dengan penyertaan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir untuk merebut jawatan yang sama.

Setakat ini, enam orang telah mengesahkan untuk bertanding jawatan berkenaan. Selain Isa, Mohd Ali dan Mukhriz, tiga penyandang jawatan - Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal - akan mempertahan jawatan masing-masing.

Pelbagai spekulasi tercetus apabila Mohd Ali diberitakan akan dilantik sebagai senator oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. Ada pihak yang menganggap ia satu usaha untuk memujuk beliau supaya mengundur diri daripada bertanding naib presiden.

Namun, sumber-sumber yang rapat dengannya menafikan perkara itu, sambil menegaskan bahawa Mohd Ali tetap akan bertanding naib presiden Umno sekalipun ditawarkan jawatan senator.

Menurutnya, tawaran tersebut tidak ada kena mengena dengan hasrat Mohd Ali untuk jawatan tersebut, tetapi sebaliknya sebagai menghargai jasa beliau mentadbir negeri itu sebelum ini.

baca dan klik seterusnya


1 comment:

  1. Kami juga menyokong penuh perjuangan Tan Sri Isa Samad. Lawati kami di https://www.facebook.com/isasamad dan http://jeneralawam.com

    ReplyDelete