Popular Posts

Sunday 29 September 2013

Isa bertanding bukan nak kejar jawatan besar-besar



PENGERUSI FELDA Tan Sri Isa Samad kata beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada 19 Oktober nanti dengan tujuan membantu pucuk pimpinan bukan bagi mengejar jawatan yang besar-besar.

Maksud Isa dua tokoh berkenaan terdiri dari Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Isa adalah antara enam calon bersaing bagi jawatan berpristij dan penting ini. Lima lagi terdiri penyandang jawatan iaitu DS Zahid Hamidi, DS Hishamuddin Hussein, DS Shafie Apdal  serta mantan Ketua Menteri Melaka, TS Ali Rustam dan Menteri Besar Kedah,Datuk Mukhriz Tun Dr.Mahathir.
Dalam pemilihan UMNO pada 2009, pencalonan Isa sebagai Naib Presiden terbatal  kerana didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin UMNO terpalit dalam tuduhan rasuah politik.
Isa mengulangi kenyataan awal bahawa hasratnya bertanding tidak lain semata-mata menawarkan diri membantu pimpinan parti.

“Seperti saya sebut pengalaman saya ada sedikit sebanyak dalam  mengharungi krisis-krisis parti antara 80-an sampailah hujung tahun 90-an.

“Inilah  sedikit sebanyak kita boleh membantu presiden dan timbalan presiden untuk menghadapi pilihanraya umum ke-14, lain saya tak adalah.”

Isa juga membayangkan  berada dalam kelompok orang lama justeru “sekarang orang lama ni ada tempat dirujuk, kalau nak rujuk pada presiden, timbalan presiden . . .mereka sibuk, rujuklah pada saya yang tak kurang sibuk”.

“Jadi inilah penawaran yang saya buat bukan kerana hendak pegang jawatan besar-besar,” kata beliau semasa berucap dalam  program ramah mesra dan bantuan makanan anjuran Yayasan Felda di Gunung Semanggol, dekat Bagan Serai malam Sabtu.

Kira-kira 350 ahli dari peringkat UMNO cawangan, jawatankuasa bahagian Bagan Serai, Parit Buntar, Taiping dan Larut hadir di majlis itu  termasuk Timbalan Ketua UMNO bahagian Bagan Serai Dato Sham Mat Sahat.
Kepada pertanyaan peluangnya untuk memenangi salah satu dari tiga Naib Presiden, Isa berkata beliau nampak sambutannya baik “alhamdullilah, saya yakin dan percaya perwakilan akan dapat membuat pilihan yang tepatlah bagi jawatan naib presiden dan jawatan-jawatan yang lain.”

Isa juga menjelaskan adalah menjadi amalan UMNO mengabungkan yang lama denga yang baru dalam pengurusan parti, “malah kita lihat dari segi pilihanraya pun kita dapati daripada dahulu sehingga sekarang insyallah akan datang juga, pucuk pimpinan akan mengekalkan kombinasi ini.

Katanya lagi “ini kerana  setiap kumpulan ini ada sedikit sebanyak kelebihan dalam memberi dan menawarkan  pengurusan kepada parti”.

“Jadi saya percaya kombinasi ini mesti kita kekalkan jika tidak ia akan jadi sesuatu yang tidak begitu lengkap kerana itu saya kata dari segi sejarah pun kita dapati setiap kali pilihanraya memang ada kombinasi”.
Isa sependapat bahawa jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan seperti berlaku sekarang. “Saya amat bersetuju kalau jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dilawan berdasarkan pengalaman saya puluhan tahun dalam parti  . . . ia banyak membawa masalah .

“Kalau kita lihat selepas pilihanraya 2008 prestasi kita tidak elok, ada tekanan politik minta Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) berhenti. Alhamdulillah Pak Lah sayangkan parti maka dia berhenti ….kalau Pak Lah bertahan sampai pemilihan seperti 2008 dahulu, saya percaya siapa pemenangpun parti tetap pecah. . . .alhamdulillah Pak Lah sayang parti dia lepas jawatan kepada Najib (DS Najib Razak).

Isa berpendapat beliau membangkitkan kisah silam  ini  sebagai peringatan kepada semua  terutama golongan muda agar tidak mengulangi sejarah seperti ini kerana ia boleh membawa kepada kemusnahan pada parti.-28/9/2013- OLEH YUSOF HARUN

No comments:

Post a Comment