Popular Posts

Thursday 12 September 2013

PRU-14 alasan saya ingin bertanding


Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad memberitahu, hasratnya bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti bulan depan kerana yakin mempunyai kemampuan, kebolehan dan pengalaman bagi membantu parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.
Bagaimanapun, Mohd. Isa yang juga Ahli Parlimen Jempol menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat pilihan nanti.
"Saya fikir masih mempunyai sedikit sebanyak kemampuan, pengalaman yang mungkin boleh membantu Presiden dan Timbalan Presiden serta parti keseluruhannya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14," katanya.
Isa Samad

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang hasratnya untuk bertanding sekali lagi bagi jawatan itu selepas menghadiri majlis Sambutan Aidilfitri dan Majlis Ramah Mesra warga Felda Wilayah Alor Setar bersama Pengerusi Felda,turut hadir isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid.
Dalam pada itu, menurutnya, gabungan orang muda dan orang lama perlu wujud dalam senarai jawatan tertinggi UMNO bagi memastikan perjalanan parti lancar dan baik.
"Gabungan ini mesti ada supaya parti dapat berjalan dengan baik. Walaupun majoriti akan diwakili orang muda tetapi yang lama juga ada mewakili parti kerana ia menjadi amalan dalam UMNO sejak dari dahulu lagi," ujarnya.
Pada pemilihan 2004, Mohd. Isa meraih undi tertinggi untuk jawatan Naib Presiden, tetapi beliau kemudiannya digantung keahlian kerana melanggar etika pemilihan parti.
Selepas tiga tahun digantung, pada 23 Jun 2008 keahlian beliau dikembalikan dan seterusnya berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

 
Petikan Utusan Malaysia  

No comments:

Post a Comment