Popular Posts

Monday 23 September 2013

Felda bina 126 Dewan Semai Bakti


KUALA KRAU 23 Sept. - Sebanyak 126 buah Dewan Semai Bakti dibina di 11 Wilayah Felda sebagai usaha berterusan Felda memberi keselesaan kepada warga tanah rancangan di seluruh negara.
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, dengan adanya Dewan Semai Bakti warga Felda mempunyai kemudahan menjalankan aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan, perjumpaan dan sebagainya.
Menurutnya, selain itu, kekerapan aktiviti di Dewan Semai Bakti menjadi salah satu usaha mengeratkan perpaduan dalam kalangan warga Felda sekali gus dapat mengelak terdedah dengan tohmahan pembangkang.
“Dewan Semai Bakti dibina dalam dua jenis iaitu jenis A yang bernilai lebih RM800,000 dan jenis B bernilai lebih RM600,000 sebagai dewan serba guna penduduk menjalankan aktiviti sosial, kemasyarakatan, agama dan sebagainya.
“Ini usaha berterusan Felda untuk memberi keselesaan dan kemajuan kepada warga Felda yang menjadi penyokong kuat kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program Transformasi Komuniti Felda Di Hati bersama Pengerusi Felda dan perasmian Dewan Semai Bakti Felda Jengka 21, di sini semalam.
Yang hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail, Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Datuk Saari Din dan Timbalan Pengerusi JKKR Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar.
Mohd. Isa menambah, hubungan silaturahim antara warga Felda perlu dipererat berikutan pembangkang masih tidak berputus asa memburuk-burukkan Felda dan pemimpin kerajaan.
Menurut beliau, fitnah pembangkang sebelum pilihan raya umum lalu seperti menggembar-gemburkan Felda akan bankrap berikutan penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) ternyata tidak benar.
Tambah beliau, walaupun pembangkang tiada isu besar selepas pilihan raya umum lalu untuk mempengaruhi peneroka namun warga Felda perlu berwaspada dengan dakyah yang disebar pembangkang.

No comments:

Post a Comment