Popular Posts

Thursday 26 September 2013

Berakhir Sebuah Perjuangan Seorang Pemimpin


CEKAL, tegas, bersemangat dan suka bergurau. Itulah gambaran sifat Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.05 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada usia 69 tahun akibat kegagalan fungsi organ dalaman dan jangkitan kuman dalam darah.


Allahyarham yang merupakan anak kelahiran Sungai Limau Dalam, Yan berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar dan Undang-Undang dari Universiti of Kent, United Kingdom.
Beliau merupakan bekas Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari tahun 1983 dan 1984 serta 1986 hingga 1995.
Allahyarham mula menyertai Pas pada 1978 di England dan bergiat aktif dia dalam parti itu di negara ini sejak 1986. Beliau pernah menyandang jawatan Naib Presiden Pas (2003-2005), Ketua Penerangan Pas Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama Pas (sejak 1991) dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sejak 1993.
Azizan juga adalah Pesuruhjaya Pas Kedah sejak 2000 menggantikan Allahyarham Datuk Fadzil Mohd. Noor. Allahyarham menjadi wakil rakyat Sungai Limau (dahulu dikenali DUN Sala), Kedah sejak 1995 dan berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya umum lalu.
Allahyarham mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pemimpin Pas pertama dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena sambutan ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada Jun lepas.
Kehadirannya dalam arena politik negara akan setiasa diingati dan dikenang sebagai seorang ahli politik berpengalaman luas dan pemimpin Pas pertama yang pernah menerajui pentadbiran Kedah.


No comments:

Post a Comment