Popular Posts

Wednesday 18 September 2013

Kematian Chin Peng Bukan Satu Kehilangan

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Kematian Chin Peng tidak akan dianggap sebagai satu kehilangan berikutan pengkhianatan dan keganasan yang pernah dilakukannya satu ketika dulu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
“Malah, Chin Peng yang pernah mengetuai parti komunis di negara ini bertanggungjawab penuh atas kematian beribu-ribu askar, anggota keselamatan dan rakyat kita dalam mempertahankan kedaulatan negara pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chin_Peng_Wanted_Malaya_Public-Enemy-Pengganas-Komunis-Kejam
Bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok awal hari ini, kira-kira sebulan sebelum ulang tahun ke-89 kelahirannya.
Kata Hishammuddin: “Malah, ketika mendiang tenat sebelum inipun, saya yang ketika itu Menteri Dalam Negeri tidak membenarkan sama sekali beliau dibawa pulang ke Malaysia.”
Beliau bersetuju dengan pandangan supaya mayat atau abu Chin Peng tidak dibenarkan ditanam di bumi Malaysia.
“Sejarah membuktikan betapa perbuatan Chin Peng satu ketika dulu telah menimbulkan pelbagai keresahan dan kacau-bilau kepada negara serta rakyat kita,” tegas menteri itu.
Bercakap kepada pemberita di Kota Kinabalu di mana beliau menghadiri sambutan Hari Malaysia ke-50, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan tidak akan mempertimbang sebarang permintaan daripada anggota keluarga Chin Peng supaya mayatnya dibawa pulang ke Malaysia untuk urusan pengebumian.
Sementara itu, Ketua MCA Labuan Datuk Chin Hon Vui berkata keputusan kerajaan itu harus diterima rakyat.
“Jangan ada yang politikkan isu ini kerana ia melibatkan sensitiviti anggota keluarga mangsa kekejaman dan keganasan komunis dan kumpulan gerila yang dipimpin Chin Peng,” katanya.

No comments:

Post a Comment