Popular Posts

Friday 13 September 2013

Teknologi IBS bagi pembinaan projek perumahan Felda


Felda akan menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk memastikan sasaran pembinaan kediaman bagi generasi kedua peneroka di seluruh negara dicapai.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Isa Samad memberitahu, menerusi projek skim perumahan di tanah rancangan bagi membantu menyediakan masa depan yang lebih baik bagi warga peneroka, Felda perlu menyediakan 20,000 rumah dalam tempoh lima tahun ini.
Contoh Gambar Pembinaan Menggunakan IBS


"Ini merupakan satu jumlah yang besar dan melalui penggunaan teknologi pasang siap ini, dijangka mampu membina lebih banyak rumah kelak seperti hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sambutan Merdeka Raya dan Ramah Mesra Warga Felda di Pusat Latihan Kerteh .
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan cenderamata kepada anggota keluarga peneroka yang bakal menunai ibadat haji.
Yang turut hadir Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Mohd. Helmi Fakhzan Abdul Wahab.
IBS merupakan proses pembinaan menggunakan teknik, produk, komponen atau sistem pembinaan melibatkan pemasangan komponen binaan di tapak, sekali gus dapat mengurangkan tenaga kerja dan kos, menjimatkan masa, produktiviti tinggi dan persekitaran pembinaan lebih selamat.
Mohd. Isa menambah, bagi mencapai sasaran, setiap tahun Felda perlu menyiapkan 4,000 unit rumah di kawasan-kawasan yang telah ditentukan.
"Setiap unit rumah tersebut dijangka menelan kos kira-kira RM80,000 hingga RM100,000 bergantung kepada infrastruktur dan muka bumi.
"Felda juga akan memberi keutamaan kepada tanah rancangan yang tidak mempunyai masalah muka bumi bagi menjimatkan lagi kos pembinaan," ujarnya.
Beliau berharap projek skim perumahan itu dapat memberi kemudahan kepada generasi kedua Felda yang ingin bermastautin di tanah rancangan dan menjana kegiatan ekonomi setempat dengan kemudahan kediaman mampu milik itu.

PETIKAN - UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment