Popular Posts

Tuesday 8 October 2013

3,000 rumah generasi muda Felda dibina di Kuala Lumpur 2014


BALING - Felda merancang membina sebanyak 3,000 unit rumah mampu milik untuk generasi mudanya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur awal tahun depan.
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (gambar) berkata, kawasan perumahan berdekatan Ibu Pejabat Felda itu akan dibangunkan secara berperingkat.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 1,500 unit rumah mampu milik bakal dikhususkan kepada generasi muda Felda yang ingin bermastautin di Kuala Lumpur tetapi tidak memiliki rumah.
"Baki sebanyak 1,500 unit lagi akan dibuka kepada masyarakat setempat dan projek ini akan dimulakan awal tahun depan," katanya ketika pemberita selepas menghadiri majlis Program Transformasi Komuniti Felda Di Hati di Felda Teloi Kanan, di sini hari ini.
Menyentuh mengenai program itu, Mohd. Isa berkata, beliau berharap penganjurannya mampu mendedahkan komuniti Felda dengan isu semasa melalui pelbagai aktiviti.
Menurutnya, program penerangan kepada komuniti Felda itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membolehkan mereka berjumpa pemimpin di samping menjalin silaturahim antara satu sama lain.
"Program transformasi yang menjadi dasar negara perlu diteruskan dan Felda sendiri telah melakukan pelbagai perubahan termasuk membina dan membeli aset penting seperti hartanah, hotel, pengangkutan dan sebagainya selain melabur dalam bentuk saham bagi menambah pendapatan peneroka Felda," katanya.
Dalam masa sama, beliau berharap masyarakat Felda sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan untuk meneruskan transformasi dalam pelbagai bentuk demi kesejahteraan dan kesenangan mereka.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131008/dn_12/3,000-rumah-generasi-muda-Felda-dibina-di-Kuala-Lumpur-2014#ixzz2h7rKMhWD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment