Popular Posts

Thursday 17 October 2013

Jangan pinggirkan golongan veteran

MUKHRIZ Mahathir dan Mohd. Isa Abdul Samad ditemu bual oleh pengacara, Dahlan Maamor dalam rancangan Ruang Bicara terbitan BernamaTV di Wisma Bernama, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 16 Okt. - Veteran UMNO tidak harus dipinggirkan kerana mereka mempunyai kebolehan dan pengalaman untuk menterjemah sesuatu dasar kepada maklumat yang mudah difahami masyarakat, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.
Mukhriz yang juga calon Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Sabtu ini, berkata, walaupun sudah ada agenda penting untuk meremajakan parti, itu tidak sama sekali bermaksud golongan veteran harus diketepikan.
"Pengalaman orang lama yang kita nampak jauh melebihi orang muda khususnya dalam soal terjemahkan dasar dan strategi, macam mana nak sampaikan maklumat kepada orang ramai.
"Dalam soal ini, orang muda yang kurang berpengalaman mungkin ada strategi dan idea tapi nak sampaikan kadang-kadang orang tak faham. Di sinilah perlunya untuk kita merujuk kepada golongan berpengalaman," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Ruang Bicara BernamaTV di Wisma Bernama, di sini semalam.
Turut ditemu bual dalam rancangan itu ialah seorang lagi calon Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang juga Pengerusi Felda.
Sependapat dengan Mukhriz, Mohd. Isa menjelaskan bahawa meremajakan parti bukan bermaksud memastikan hanya golongan muda yang harus diberi mandat untuk memimpin tetapi lebih kepada memastikan golongan itu mudah diterima masuk dalam UMNO.
Katanya, walaupun golongan muda dianggap penting kerana mereka pelapis parti, hakikatnya masih ramai veteran yang bukan sahaja setia kepada UMNO malah masih layak mengundi kepimpinan parti itu.
"Bila ramai orang muda, (itu bererti) kita tidak akan ketandusan pelapis... kerana itu, dalam UMNO dari dahulu memang kita tak ketandusan pemimpin. Proses melatih kepimpinan UMNO bermula daripada sayap Pemuda.
"Umur macam saya masih ramai yang mengundi...tapi soal meremajakan UMNO bukan bermaksud kita ketepikan yang lama. Meremajakan UMNO ialah meramaikan orang muda sertai parti tanpa sebarang sekatan yang tidak munasabah," katanya.
Isa berkata, memberi peluang kepada golongan muda untuk memimpin bukanlah sesuatu yang baharu dalam UMNO kerana beliau sendiri menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada usia 33 tahun manakala Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Besar Pahang pada usia 29 tahun.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai faktor beliau patut dipilih sebagai Naib Presiden UMNO, Mukhriz berkata, kejayaan besar merampas kembali Kedah daripada pimpinan Pas harus dipertimbang oleh perwakilan UMNO.
Menurutnya, pengalaman beliau dan UMNO Kedah dalam usaha merampas kembali Kedah adalah sesuatu yang tidak harus diperkecilkan dan dengan jawatan Naib Presiden, beliau percaya formula kejayaan itu dapat dikongsi bersama dengan lebih berkesan.
Mohd. Isa pula berpendapat, beliau patut dipilih kerana mahu membantu memupuk keseimbangan antara golongan muda dan veteran dalam kepimpinan UMNO untuk memastikan parti lebih bersifat progresif dan berdaya saing.
Bagaimanapun, kedua-dua tokoh itu bersetuju bahawa dalam persaingan merebut tiga slot Naib Presiden, ia harus dilaksanakan secara sihat dan demokratik. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Umno_2013/20131017/um_02/Jangan-pinggirkan-golongan-veteran#ixzz2hyEsJRWK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment