Popular Posts

Saturday 5 October 2013

Kerjasama Pas-UMNO bersatu bukan mustahil, banyak titik persamaan



Hasrat melihat UMNO dan Pas bekerjasama atau bersatu bukan sesuatu yang mustahil kerana kedua-dua parti itu mempunyai lebih banyak titik persamaan daripada perbezaan.
Tokoh akademik, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba berkata, selain kedua-dua parti dominan orang Melayu itu pernah bersama suatu ketika dahulu, ahli-ahli UMNO dan Pas juga adalah beragama Islam.
Katanya, kerajaan memerintah yang ditunjangi UMNO juga melaksanakan kerja-kerja Islam yang diperjuang Pas dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, ilmu pengetahuan, ekonomi, perbankan, syariah, undang-undang, keluarga dan sebagainya.
"Memanglah dua entiti politik berbeza ada persamaan dan perbezaan. Namun, titik perbezaan itu harus disantuni dengan sabar dan hemah yang tinggi supaya akhirnya kita dapati titik pertemuan lebih banyak daripada titik perbezaan.
"Jadi, UMNO dan Pas perlu mencari titik persamaan untuk menimbulkan penyatuan ummah di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas Seminar Perpaduan Ummah Dalam Peradaban Malaysia di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini hari ini.
Sidek merupakan antara tiga ahli panel dalam seminar bahagian kedua yang bertajuk Penyatuan Ummah Dalam Konteks Perlembagaan, Bahasa Budaya dan Pendidikan anjuran Institut Peradaban UPSI dengan kerjasama Majlis Profesor Negara (MPN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena).
Dua lagi ahli panel ialah Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya MPN, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan.
Sidek yang juga Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara Pas dan UMNO adalah lebih baik kerana kedua-dua parti tidak menolak Islam.
"Mana lebih baik, melakukan tahaluf siyasi dengan UMNO atau dengan orang menolak Islam sebagai asas kenegaraan dan syariah serta mereka yang menganjurkan pluralisme agama dan menyarankan supaya kalimah Allah sama dengan trinity?
"UMNO dan kerajaan yang ada tidak melakukan begitu. Jadi, nampaknya Pas dan UMNO ada lebih banyak titik persamaan daripada perbezaan," ujarnya.
Terdahulu, ketika berucap dalam seminar tersebut, beliau berkata, antara penghalang kepada kesatuan ummah di negara ini ialah sikap pemimpin yang mempunyai ego terlalu tinggi sehingga merasakan diri mereka maksum.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20131003/po_01/Kerjasama-Pas-UMNO-bersatu-bukan-mustahil-banyak-titik-persamaan#ixzz2gpSKY86N
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment