Popular Posts

Sunday 13 October 2013

Kejutan, ketua baharu warnai pemilihan sayap NS

                                                                                    Norhayati, Mohd. Nizam, Zuliana

SEREMBAN 13 Okt. - Banyak kejutan yang berlaku dalam pemilihan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian di negeri ini semalam yang menyaksikan senarai ketua berubah dengan ketara.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hasim Rusdi memberitahu, dalam sayap Pemuda sahaja menyaksikan beberapa bahagian diisi pemimpin baharu manakala Wanita pula menyaksikan perubahan di beberapa bahagian dan lima dalam kalangan Puteri UMNO menang tanpa bertanding.
‘‘Ini jelas menyaksikan proses kematangan itu sedang berlaku dan kepimpinan baharu ini adalah individu yang telah diberi kepercayaan untuk membawa hala tuju parti ke arah yang lebih positif," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ujar beliau, barisan muda dan bertenaga serta diadun dengan mereka yang telah berpengalaman berkhidmat dalam parti adalah kekuatan yang memperlihatkan pembaharuan dalam gerak kerja, keserasian kepada rakyat dan paling utama penggerak dalam jentera Pilihan Raya Umum Ke-14.
Katanya, melihat sayap Wanita UMNO Bahagian di negeri ini, paling ketara perubahan yang berlaku ialah di bahagian Tampin yang menyaksikan penyandangnya, Datuk Zainab Nasir sekadar memperoleh 38 undi berbanding pencabar Zuredah Muhammad yang mendapat 188 undi.
Tambah beliau, wanita Tampin mahu melihat kepimpinan baharu yang dapat mencorakkan masa hadapan ahli dan kepercayaan rakyat bagi persediaan yang lebih baik pada PRU-14 kelak, iaitu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah yang tewas kepada pembangkang dalam PRU-13 lalu.
‘‘Apa yang pasti, tumpuan kerja selepas ini terarah kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14. Selepas pemilihan ini, saya akan kembali menyatupadukan semua ahli Wanita UMNO dan bekerja untuk agama, bangsa dan tanah air," katanya.
Zainab juga tewas kepada seorang lagi pencabarnya, Siti Aishah Seman@Othman yang merupakan Ketua Wanita UMNO cawangan Damai Jaya, yang memperoleh 90 undi.
Pemilihan Wanita UMNO Bahagian Telok Kemang turut menyaksikan penyandangnya Rohani Yaacob yang memperoleh 66 undi tewas kepada dua pencabarnya.
Jawatan itu dimenangi oleh Sofiah Sidek selepas memperoleh 125 undi, manakala Arah Abu Bakar mendapat 77 undi.
Selain mereka, Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Datuk Norhayati Omar kekal menjadi ketua di Kuala Pilah; Datuk Samsiah Samsudin (Seremban), Zuraidah Mohd. Zin, 202 undi (Jelebu), Hapsah Hamid, 154 undi (Rasah); Siti Harpah Mat Dom (menang tanpa bertanding) dan Hasnah M. Mohamed, 169 undi (Jempol)
Bagi Pemuda UMNO Bahagian pula, hanya Mohd. Nizam Aman mengekalkan jawatan ketua di bahagian Jempol selepas memperoleh 162 undi. Selainnya di tujuh lagi bahagian menyaksikan perubahan dalam barisan ketuanya.
Azharuddin Shujauddin kini merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban yang baharu selepas memperoleh 174 undi, menewaskan pencabarnya, Abdul Samad Abdul Rahman, 69.
Di Rasah, Hassan Yop mendapat 152 undi untuk menjadi ketua, menewaskan Azim Rozaiman Abdul Aziz, 92 undi dan di Kuala Pilah, saingan tiga penjuru menyaksikan Khairolnezam Shaari diumumkan sebagai ketua selepas mendapat 177 undi. Pencabarnya ialah Muhammad Sufian Maradzi (138) dan Eddin Syazlee Shith (72).
Di Jelebu, Mohd. Aizil Md. Derus diumumkan sebagai ketua Pemuda yang baharu selepas mendapat 126 undi, manakala di Rembau, Ardana Md. Nor kini mengetuai Pemuda di bahagian itu selepas penyandangnya Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengosongkan kerusi itu dan menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau.
Khairy juga mempertahankan semula jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO Pusat.
Di Tampin, Ridzuan Ahmad mendapat 167 undi untuk jawatan ketua menewaskan pencabarnya Saiful Adly Abd. Wahab (135) dan di Telok Kemang, Mohd. Najib Mohd. Isa, anak kepada Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad telah menang tanpa bertanding.
Lebih menarik lagi, Puteri UMNO menyaksikan lima bahagian telah pun menerima ketuanya tanpa bertanding iaitu Asmida Sepian (Tampin); Zuliana Mohd. Ridzuan (Rembau); Norfasliza Mohd. Salleh (Jempol); June Artisha Mohamad Nazari (Kuala Pilah) dan Rosilawati Abdul Malek (Jelebu).
Selebihnya pertandingan di Seremban menyaksikan Zabedah P. Mastar menang jawatan ketua selepas memperoleh 64 undi, menewaskan Rahil Abdul Lasi (30); di Rasah, pertandingan tiga penjuru menyaksikan Norita Yahaya menang dengan 56 undi, berbanding pencabarnya, Sharul Afizah Mohd. Idris (53) dan Hazlilaili Hanapi (1).
Di Telok Kemang, Rozana Abu Sarim menang sebagai ketua dengan 81 undi mengetepikan Norazliana Nadri, 22 undi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20131014/ws_02/Kejutan,-ketua-baharu-warnai-pemilihan-sayap-NS#ixzz2hfPYEunq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment