Popular Posts

Wednesday 2 October 2013

Felda Global ambil alih 100% Pontian United RM1.204 bilion





KUALA LUMPUR 1 Okt. - Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) telah berjaya memperoleh persetujuan mengambil alih 100 peratus kepentingan dalam Pontian United Plantations Bhd sebagai sebahagian daripada rancangan memperluaskan simpanan perladangannya.
Jumlah tunai terlibat untuk pengambilalihan itu ialah RM1.204 bilion.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Emir Mavani Abdullah berkata pengambilalihan itu akan meningkatkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) syarikat sebanyak 80,000 tan metrik setahun.
"Kumpulan akan mendapat manfaat daripada sinergi yang terhasil daripada operasi kedua-dua ladang Pontian dan FGV di Sabah," kata beliau dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menerusi sekutunya Felda Holdings Bhd, FGV pada masa ini merupakan pengeluar MSM terbesar di dunia, menghasilkan 3.3 juta tan metrik pada 2012.
Kawasan perladangan Pontian telah ditanam sepenuhnya dan berlokasi terutamanya di bahagian Kinabatangan dan Lahad Datu di Sabah.
Kawasan tanahnya juga terletak berdekatan estet Felda Sahabat dan loji penapis FGV Group di Lahad Datu, yang akan menyaksikan sinergi serta meningkatkan kecekapan operasi.
Operasi bersepadu Pontian turut termasuk kilang pemprosesan minyak sawit dan kemudahan menghancurkan isi rung.
Selain daripada itu, ia mempunyai ladangnya sendiri di Kukup, Johor, berlokasi strategik ekoran kedekatannya kepada lingkaran kedua Tuas di antara Johor dan Singapura. Setakat 31 Dis, 2012, Pontian mempunyai imbangan kira-kira yang sihat dengan jumlah tunai RM256 juta serta bebas daripada hutang.
Pengerusi FGV Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata niaga janji itu akan meningkatkan perladangan kumpulan di Malaysia dan menyumbang secara positif kepada pendapatan serta memberi manfaat kepada kumpulan dan semua peneroka Felda.
FGV melancarkan tawaran pengambilalihan bersyarat suka rela untuk semua saham Pontian pada harga RM140 setiap satu pada 18 Julai tahun ini.
Pembelian itu tertakluk kepada syarat ia telah menerima persetujuan lebih daripada 50 peratus saham Pontian.
Harga saham kemudiannya telah diselaraskan kepada RM139.20 sesaham berikutan pembayaran dividen interim Pontian, 80 sen sesaham pada 2 Sept, 2013.
Pada tarikh tutup akhir hari ini, FGV menerima penerimaan sah untuk sejumlah 8,648,280 saham Pontian, mewakili 100 peratus modal terbitan dan berbayar Pontian. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20131001/ek_17/Felda-Global-ambil-alih-100-Pontian-United-RM1.204-bilion#ixzz2gYsFJKkc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment