Popular Posts

Thursday 3 October 2013

Bersatu jayakan transformasi


 Warga Felda perlu komited dan bersatu menyokong program transformasi kerajaan bagi meletakkan negara pada landasan kukuh dalam mendepani cabaran global.
Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi program transformasi itu tidak lain bagi mengangkat martabat rakyat pada kedudukan lebih baik.
"Oleh itu, warga Felda perlu memiliki jati diri dan semangat cinta negara dengan meletakkan kepentingan organisasi dan masyarakat bagi menjamin kelangsungan transformasi kerajaan," katanya.
Ismail berkata demikian ketika berucap pada Program Transformasi Komuniti Felda Di Hati bersama Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 21 di sini kelmarin.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Jengka, Wan Salman Wan Ismail, Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Datuk Saari Din dan Timbalan Pengerusi Felda JKKR Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar.
Menurut beliau, warga Felda merupakan kelompok masyarakat Melayu yang berperanan penting dalam menjayakan program dan agenda kerajaan.
Tegasnya, tambahan pula warga Felda dan penduduk kampung tradisonal adalah teras pembentukan kerajaan yang kukuh.
''Kerajaan sangat menghargai sumbangan dan sokongan warga Felda terhadap Barisan Nasional (BN) sekali gus berjaya menghalang pembangkang daripada memecahbelahkan perpaduan warga Felda," katanya.
Ismail seterusnya mengingatkan warga Felda berwaspada dengan gerakan pembangkang yang berterusan memburuk-burukkan Felda dan pemimpin kerajaan.
Jelasnya, pembangkang akan berusaha dengan tujuan untuk menimbulkan rasa marah dan sangsi terhadap kewibawaan dan keupayaan kerajaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130925/wp_01/Bersatu-jayakan-transformasi#ixzz2geDqdELi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment