Popular Posts

Thursday 10 October 2013

Tanah tergadai hanya drama pembangkang

Mohd. Isa Abdul Samad bersalaman dengan warga FELDA ketika majlis Program Transformasi Komuniti Felda Di Hati di Jempol, Negeri Sembilan, kelmarin.
JEMPOL 10 Okt. - Para peneroka Felda diminta tidak terpedaya dengan 'drama' baharu mainan pembangkang yang cuba menakutkan mereka dengan isu tanah akan tergadai dan dipajakkan oleh agensi itu.
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, pihaknya tidak terkejut isu itu masih dijadikan bahan kempen politik walaupun Felda sebelum ini sudah pun menjelaskan hal tersebut hanya khabar angin semata-mata.
"Kita telah buat penafian pertengahan September lalu, namun Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) telah membuat satu laporan polis minggu lalu kerana bimbang tanah tersebut akan tergadai.
"Ini memang kerja mereka dan Felda tidak rasa takut kerana tahu kita berada di landasan yang betul. Cuma kita risau sekiranya ada peneroka yang percaya pada kata-kata pembangkang," katanya ketika ditemui selepas program Tranformasi Komuniti Felda di Hati dekat Dewan Feldajaya Selatan di sini semalam.
Yang turut hadir Ketua Eksekutif Yayasan Felda, Datuk Dr. Emel Faizal Mohd. Mokhtar dan Pengarah Pembangunan Komuniti dan Koordinasi Felda, Anuar Malek.
Mohd. Isa berkata, kebanyakan peneroka sudah pun berusia dan tidak mampu menguruskan ladang masing-masing dan Felda sedang mencari jalan terbaik untuk membantu mereka.
"Namun usaha mengambil alih tanah peneroka tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda. Jadi bagaimana mereka boleh kata Felda mahu ambil tanah peneroka.
"Peneroka sudah ada geran masing-masing. Bagaimana Felda mahu mengambil alih tanah tersebut. Ini adalah usaha untuk menakutkan peneroka dan sikap iri hati kerana warga Felda masih bersama Barisan Nasional," jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol menjelaskan, Felda telah lama bersedia menghadapi sebarang serangan daripada parti pembangkang.
"Sebab itu kita sering mengadakan program agar dapat mengumpulkan orang ramai dan menjelaskan isu yang berbangkit. Ini juga salah satu usaha untuk pemimpin Felda dapat mendekatkan diri dengan warganya," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131011/dn_20/Tanah-tergadai-hanya-drama-pembangkang#ixzz2hOD2Xd6O
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment