Popular Posts

Sunday 6 October 2013

Memilih tiga calon terbaik




Sudah sah kini perebutan kerusi Naib Presiden UMNO bakal menyaksikan pertarungan enam calon yang dianggap peluang terbaik untuk ahli-ahli UMNO memilih yang terbaik dalam kalangan baik-baik.
Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir merupakan pemimpin terbaharu yang menempatkan diri beliau bersama-sama dua lagi pencabar iaitu bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd.Isa Abdul Samad.
Ketiga-tiga mereka akan cuba menembusi kubu Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal yang sudah mengesahkan akan mempertahankan kerusi Naib Presiden yang mereka sandang sejak Mac 2009.
Kehadiran Mukhriz dalam gelanggang persaingan tersebut menarik perhatian ramai kerana beliau merupakan calon termuda (49 tahun) dan baharu sahaja mencatat kejayaan cemerlang apabila memastikan Kedah kembali ke dalam genggaman Barisan Nasional (BN).
Sementara nama bapanya Tun Dr. Mahathir Mohamad terus dilihat berpengaruh dan kekal sebagai pemimpin yang disanjungi di negara ini.
Bagi penulis, keputusan Mukhriz sebenarnya bukanlah satu kejutan kerana sejak awal lagi sudah ada ura-ura bahawa beliau akan bertanding jawatan tersebut.
Tambahan pula, menurut satu sumber yang rapat dengan pemimpin itu, dari semasa ke semasa Mukhriz dikatakan dikunjungi oleh pelbagai pihak dalam UMNO yang mahu beliau bertanding.
''Bagaimanapun Mukhriz tidak mahu terburu-buru sebab itulah beliau menunggu hingga kelmarin (Khamis) untuk membuat keputusan.
''Mukhriz mahu menyahut seruan untuk meremajakan UMNO dan seterusnya memperkasakan parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
''Sama ada beliau layak atau tidak, Mukhriz serahkan kepada perwakilan untuk membuat penilaian,'' kata sumber berkenaan kepada penulis.
Mukhriz akan turut bertarung dengan seorang lagi anak bekas Perdana Menteri iaitu Hishammudin yang dua tahun lebih tua daripada beliau. Hishammuddin yang berusia 51 tahun memasuki gelanggang untuk mempertahankan kedudukan dengan pelbagai persepsi ahli-ahli UMNO terhadap beliau.
Namun Hishammuddin tidak menghiraukan itu semua kerana beliau percaya kepada kebijaksanaan ahli-ahli UMNO untuk membuat keputusan.
Zahid yang berusia 60 tahun pula dilihat menteri paling popular berikutan ketegasan beliau mengendalikan Kementerian Dalam Negeri.
Walaupun bukanlah populariti yang dicari tetapi Zahid dilihat memenuhi harapan ramai orang sama ada di peringkat kementerian mahupun parti, manakala Shafie yang akan menyambut hari jadi ke-56 sehari selepas pengundian dijalankan pada 19 Oktober ini dilihat cemerlang dalam membangunkan masyarakat luar bandar.
Sudah pastilah kalau beliau kekal sebagai Naib Presiden, ia akan dianggap hadiah hari jadi paling bermakna bagi menteri yang berasal dari Sabah itu.
Kesemua mereka akan berhadapan pula dengan Mohd. Ali dan Isa - dua pemimpin yang dilihat disukai di peringkat akar umbi. Kedua-dua berusia 64 tahun dan pernah menang dalam perebutan jawatan Naib Presiden.
Mohd. Ali yang dianggap pemimpin mudah mesra, tewas dalam pilihan raya umum lalu dan kini dilantik menjadi Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) manakala Isa pula yang menang kerusi Parlimen Jempol menewaskan penyanyi Aishah kini Pengerusi Felda.
Sememangnya dari segi latar belakang politik dan pengalaman, kesemua calon mempunyai kehebatan masing-masing. Malah latar belakang usia juga akan memberikan ruang kepada ahli-ahli UMNO untuk memilih siapa yang terbaik di antara mereka untuk menduduki kerusi Naib Presiden.
Dalam soal ini, adalah penting ahli-ahli UMNO membuat keputusan yang benar-benar bijak dan bukan bersandarkan kepada persepsi, tohmahan apatah lagi fitnah terhadap calon.
Biar pun sekarang sudah ada andaian bahawa ada penyandang yang akan tewas berikutan kehadiran Mukhriz, namun ahli-ahli UMNO tidak boleh membuat keputusan berdasarkan kepada andaian.
Sebaliknya, mereka perlu melihat secara teliti rekod prestasi setiap calon dan apakah tiga Naib Presiden yang bakal mereka pilih nanti benar-benar mampu menggalas tanggungjawab besar bagi meraih sokongan lebih besar orang Melayu dan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Hal ini memandangkan pemilihan kali ini bukanlah demi menyelamatkan survival politik sesiapa tetapi bagi memilih barisan pejuang untuk terus menegakkan panji-panji perjuangan UMNO demi bangsa, agama dan negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130921/re_01/Memilih-tiga-calon-terbaik#ixzz2h0AOYQn4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment