Popular Posts

Friday 18 October 2013

Isa yakin masih popular-KOSMO


APAKAH yang menyebabkan Tan Sri begitu bersemangat untuk bertanding dalam pemilihan kali ini?
ISA SAMAD: Seperti yang pernah saya sebutkan sebelum ini, antara faktor utama saya menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden adalah untuk membantu parti, bantu Presiden, Timbalan Presiden bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.
Apakah kelebihan Tan Sri berbanding calon-calon lain? Kenapa perwakilan perlu pilih Tan Sri?
Saya bertanding berdasarkan pengalaman sebagai orang lama dalam parti. Sebenarnya orang lama dalam parti tidak ramai yang memegang jawatan.
Saya kira lebih kurang enam orang, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah yang dianggap sebagai super super senior, dan di bawahnya adalah di peringkat saya, iaitu Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyidin, Datuk Seri Nazri Aziz, saya, dan juga Tan Sri Shahrir Samad. Kumpulan ini yang masih memegang jawatan sebagai wakil rakyat.
Daripada lima hingga enam orang ini, Tengku Razaleigh tidak bertanding apa-apa jawatan kali ini, Najib dan Muhyidin sudah jadi Presiden dan Timbalan Presiden, manakala Nazri dan Shahrir tidak mahu bertanding. Jadi, saya fikirkan, saya bertanding sebagai mewakili orang lama dalam parti. Saya boleh jadi pengimbang, boleh jadi pembantu dan penasihat.
Adakah Tan Sri sudah survei populariti sebelum umum nak bertanding dan apakah Tan Sri ada peluang untuk menang?
Saya fikir peluang nak memenangi jawatan ini lebih kurang sama. Saya pula sudah biasa menang dan biasa kalah. Tambahan pula kini, yang memilih berkali ganda ramainya daripada masa-masa lepas. Daripada lebih kurang 3,000 orang kepada 146,500 perwakilan, ini satu angka yang besar dan terserah kepada perwakilan membuat keputusan.
Kalau menang apa yang Tan Sri mahu lakukan?
Pertama, saya akan bersama-sama Presiden, Timbalan dan rakan-rakan Naib Presiden. Ini kerana calon yang menang jawatan Naib Presiden UMNO akan menjalankan kuasa pengurusan yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri. Kita merangka strategi dan melaksanakan apa yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi. Jadi saya ingin bersama-sama kumpulan itu untuk memberikan pandangan, pendapat dan sebagainya.
Dalam blog, akhbar dan perbualan, nama seperti Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Datuk Seri Shafie Apdal disebut-sebut. Sekali-sekala sahaja nama Tan Sri muncul. Apakah komen Tan Sri?
Bagi saya tiada masalah. Saya pernah lawan Pasukan Wawasan pada tahun 1993 dan satu berita pun mengenai saya tidak keluar di akhbar dan televisyen kerana saya menentang pasukan itu. Tetapi saya masih mendapat undi yang banyak dan cuma kalah dengan perbezaan 42 undi.
Ada juga kita dengar cerita mengenai body language Presiden parti yang dikatakan lebih selesa dengan tiga Naib Presiden sedia ada?
Mana tahu Naib Presiden yang baharu nanti lebih selesa berganding dengannya. Bagi saya, saya tidak fikir Presiden mempunyai pandangan yang sedemikian. Tetapi kalau ada yang mengatakan Presiden lebih selesa dengan yang sedia ada, tidak tahulah. Mungkin ketika saya masuk, dia lebih selesa dengan saya pula. Keadaan akan menentukan.
Bercakap tentang agenda memperkasakan orang Melayu, kini UMNO dilabel sebagai lesu dan tidak bermaya. Andai menang, ke arah mana Tan Sri hendak bawa agenda ini?
Kebanyakan perkara yang dicapai oleh orang Melayu hari ini boleh dikatakan semuanya dibantu oleh UMNO menerusi kerajaan. Kecualilah mereka tidak bersyukur atau mahu menidakkan usaha UMNO itu dengan memberikan pelbagai alasan seperti ‘siapa perintah pun sama, ini bukan duit UMNO tapi duit kerajaan dan sebagainya’. Tetapi akhirnya kita tahu bahawa dasar UMNO yang mengepalai kerajaanlah yang membolehkan orang Melayu menerima hak-hak mereka. Hari ini pun, perjuangan UMNO tidak lari, cuma pendekatannya berbeza.

No comments:

Post a Comment